Thursday 18 April 2013


PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman sebagai pemimpin di penghujung jangka hayat politik dan tidak mampu memberi saingan kepada Lim Kit Siang untuk kerusi Parlimen Gelang Patah.

Dalam kritikan yang agak keras, Anwar menolak persepsi umum bahawa Ghani adalah calon paling sesuai untuk membanteras cubaan Kit Siang merampas kerusi itu, sekali gus mengekang pengaruh pembangkang di Johor.

Malah, Anwar menyifatkan Ghani sebagai Menteri Besar yang lemah dan tidak mampu untuk menggugat Kit Siang.

“Saya tak rasakan kehadiran Ghani itu (menggugat) kerana Ghani itu dianggap sudah di akhir peringkat khidmatnya dalam politik,” kata Anwar kepada Antarapos.

“Maknanya dia negeri Johor pun dia tak boleh pimpin,” tambah beliau selepas mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di sini, petang Selasa.



Kerusi Parlimen Gelang Patah secara tradisi dipegang oleh MCA namun diisytiharkan oleh DAP sebagai sasaran utamanya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dalam strateginya untuk menawan Johor dan seterusnya Putrajaya.

Kerusi parlimen itu mempunyai 54 peratus pengundi Cina, 33 Melayu dan 12 India.

Pecahan pengundi itu meyakinkan Lim Kit Siang untuk bertandang ke Gelang Patah sungguhpun ia menimbulkan pertelagahan dengan PKR, khususnya dengan Pengerusi PKR negeri, Datuk Chua Jui Meng.

Ghani, yang dikenali dengan sifat kesederhanaannya, menegaskan bahawa Johor menolak politik perkauman yang dibawa oleh DAP.

Justeru Menteri Besar tiga penggal itu menyahut cabaran untuk berdepan dengan Kit Siang, dengan keyakinan pengundi, termasuk penduduk Cina tidak akan termakan dengan budaya politik pembangkang.

0 comments:

Post a Comment