Keadaan ekonomi sekarang merupakan waktu yang agak mencabar bagi kita; maka, inilah waktu yang terbaik untuk kita menilai kedudukan kita. Malah, adalah lebih penting untuk kita ketahui di mana kedudukan kewangan kita dan mula meniliti ke mana wang kita dibelanjakan. Jika tidak, kesukaran yang akan kita hadapi bukan hanya untuk bertahan, malah segala matlamat masa hadapan pun mungkin tidak tercapai.
Mengira Nilai Bersih Anda
Langkah permulaan anda adalah untuk mengambil tahu Nilai Bersih anda.
Ataupun, dalam bahasa yang mudah, mencari kedudukan kewangan
kesuluruhan anda. Mulakanlah dengan senarai aset : harta (dan nilai
pasarannya) kepunyaan anda yang boleh dijual. (Lihat Kertas kerja 1:
Penyata Nilai Bersih)
Kemudian senaraikan pula liabiliti: baki-baki hutang anda dengan
pihak ketiga (bank, syarikat-syarikat kewangan, pusat membeli belah, kad
kredit dan sebagainya).
Tolakkan jumlah liabiliti (jumlah dari senarai liabiliti anda) dari
jumlah asset (jumlah nilai senarai aset anda), dan anda akan dapati
Nilai Bersih anda: inilah satu-satunya nilai yang menentukan kedudukan
kewangan anda.
Jika perbezaan antara harta dan hutang anda memberi nilai yang
positif, ini bermakna anda mempunyai Nilai Bersih yang positif.
Sebaliknya, jika ia didapati negatif, anda sedang menanggung kerugian
(“insolvent”).
Analisa Aliran Tunai Bulanan Anda
Selepas mengenalpasti keseluruhan status kewangan anda, langkah yang
seterusnya adalah menganalisa pengaliran tunai bulanan anda. Ini akan
menunjukkan ke mana arah anda – sama ada anda mengumpul wang, bertahan
atau terus dibelenggu hutang. Anda boleh mengetahuinya dengan memeriksa
pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. (Lihat Kertas kerja 2: Penyata
Aliran Tunai)
Jika anda mempunyai wang lebih pada akhir bulan setelah menjelaskan
semua perbelanjaan (ya, kami faham, ramai orang mungkin curiga dapat
menhasilkan wang lebih setiap bulan – bak kata “kais pagi makan pagi”),
nilai bersih anda akan meningkat, dan anda harus menyimpan atau
melaburkan baki yang lebih ini. Sebaliknya pula, jika anda tidak dapat
menampung keperluan bulanan, anda harus pula mengubahsuaikan
perbelanjaan agar anda dapat membayar semua bil atau komitmen anda.
Tidak kira walau ke mana arah kewangan anda, ketetapan anda untuk
memeriksa perbelanjaan anda secara berterusan adalah penting untuk anda
berjaya menguruskan wang, terutamanya dalam tempoh yang sukar seperti
sekarang.
Berikut adalah beberapa perkara penting untuk dipertimbangkan dalam perbelanjaan utama anda.
Pendidikan
Penidikan merupakan satu perkara penting dalam pertimbangan dalam
pelan kewangan anda. Walaupun kita perlu menanggung kos untuk
mendapatkan ijazah atau sijil di kolej, perbelanjaan ini biasanya salah
satu pelaburan terbaik yang boleh kita dilakukan. Secara purata,
seseorang yang memiliki pendidikan yang lebih tinggi dan kemahiran kerja
yang memenuhi kehendak pasaran selalunya mendapat pendapatan yang
lebih. Mendapatkan pendidikan tambahan adalah salah satu pelaburan
terbaik yang harus kita lakukan.
Pengurusan hutang
Pada dasarnya berhutang bukanlah satu idea yang teruk. Yang mencabar
tentang berhutang adalah selain membayar semula pokok hutang (jumlah
asal yang dipinjam), kita juga harus membayar faedah yang dikenakan atas
baki hutang tersebut. Bagi pinjaman 30 tahun untuk perumahan,
umpamanya, peminjam akan membayar lebih dua kali ganda nilai pembelian
rumah tersebut, disebabkan oleh tambahan yang diperlukan untuk membayar
faedahnya. Jadi, jika kita boleh mengelak diri dari meminjam wang, ini
adalah lebih baik untuk jangka masa panjang.
Walau bagaimanapun, kita mungkin amat memerlukan pinjaman wang dalam
situasi yang lain pula. Anda memerlukan pinjaman samada dalam
perniagaan, pembelian rumah atau kereta. Walaupun pinjaman dibuat atas
alasan tersebut, adalah lebih baik untuk anda mempunyai sedikit wang
tambahan di dalam bajet anda untuk waktu kecemasan. Kecemasan dan
perbelanjaan yang tidak terduga selalunya timbul bila-bila masa sahaja.
Oleh itu, anda haruslah berhati-hati sebelum melibatkan diri anda
dalam apa-apa komitmen hutang. Hutang yang tidak dilangsaikan
serta-merta akan bertambah banyak tanpa disedari anda.
Membeli rumah
Selain kos tambahan yang berkaitan dengan pembelian rumah seperti
bayaran pendahuluan (selalunya 10 atau 20 peratus dari harga pembelian)
dan yuran ansuran, anda harus membuat pertimbangan mengenai kos
urus-selia dan lain-lain yuran yang berkaitan.
Jika anda membuat keputusan untuk menjual rumah anda, bayaran yuran
ejen hartanah perlu dibayar terlebih dahulu. Selain itu terdapat juga
beberapa kos pentadbiran seperti duti stem, yuran guaman dan sebagainya
serta bayaran denda terhadap pinjaman perumahan jika rumah tersebut
dijual dalam tempoh wajib (“lock-in period”) pinjaman tersebut.
Perkara-perkara ini akan menambah beberapa peratus harga jualan asal.
Oleh sebab kos-kos tambahan ini, sesiapa yang ingin membeli rumah hanya
untuk tinggal di dalamnya untuk jangkamasa yang pendek dan kemudian
menjualnya semula, hendaklah membuat keputusan tersebut dengan
pengetahuan kewangan yang waras.
Ciri-ciri lain yang harus dipertimbangkan sebelum membeli rumah
adalah keadaan pasaran hartanah (samada nilai rumah-rumah di kawasan
tersebut sedang naik atau merosot), lokasi (rumah di lokasi permintaan
ramai selalunya boleh dijual dengan sambutan yang lebih baik) dan samada
rumah tersebut akan memenuhi keperluan anda dan juga keperluan pembeli
yang akan datang.
Pengangkutan atau transpot
Mempunyai kereta sendiri memberi seseorang itu satu kemudahan yang
indah, tetapi ia boleh memakan sebahagian besar dari bajet perbelanjaan
atau persendirian anda. Jika anda tidak mampu membeli sesebuah kereta,
jumlah perbelanjaan yang berkaitan dengannya akan meningkatkan harganya
lebih dari harga asal yang disangkakan, apatah lagi perbelanjaan seperti
insuran, kos memperbaiki & penjagaan dan bayaran ansuran pinjaman.
Memandangkan juga kenaikan harga minyak sekarang, menggunakan
pengangkutan awam (bas, LRT, komuter, dsb.) mungkin menjadi pilihan yang
lebih munasabah. Walaupun tidak semudah menaiki kereta sendiri, pilihan
ini tetap lebih murah.
Tetapi jika kita tiada pilihan lain dan terpaksa membeli kereta oleh
sebab ketiadaan pengangkutan awam di kawasan tinggal atau disebabkan
alasan-alasan sah yang lain, kita mesti pastikan kemampuan kita untuk
membayar segala kos-kos yang terlibat, terutamanya kos minyak dan
penyelenggaraannya.
Makanan
Kos makanan merupakan satu lagi bahagian utama dalam bajet sesuatu
keluarga. Secara am, membeli secara borong kemudian menyediakan makanan
di rumah adalah lebih menjimatkan daripada membeli barang makanan yang
telah diproses dan makan luar di restoran. Tambahan pula, ramai keluarga
mendapati bahawa menyara kebun atau tapak tanaman sayur-sayuran sendiri
juga membantu dalam mengurus bajet makanan mereka.
Pakaian
Kita tidak dapat menafikan bahawa setiap orang perlukan pakaian;
sebaliknya, di sini juga kita berpeluang untuk berjimat cermat. Jika
kita merancang pakaian yang akan memenuhi almari kita, bajet pakaian
dapatlah dikawal, dan tidaklah berlebihan kerana membeli sesuka hati
pada bila-bila masa.
Membeli pakaian yang berkualiti, dan bergaya tradisional boleh
menjimatkan dalam jangkamasa yang agak panjang. Pakaian sebegitu boleh
tahan lama dan akan bertahan melalui dunia fesyen yang sering berubah;
pendekatan ini lebih murah dalam masa panjang daripada membeli pakaian
yang kurang berkualiti atau yang mengikuti fesyen terkini.
Simpanan
Tidak ketinggalan pula, kita harus fokus kepada tabiat menyimpan
wang. Walaupun simpanan sering dianggap sebagai suatu yang mewah, ia
sepatutnya dari awal lagi dimasukkan dalam bajet setiap rumahtangga.
Sebabnya mudah sahaja: Waktu-waktu kecemasan atau perbelanjaan yang
tidak diduga akan timbul pada bila-bila masa sahaja. Dengan adanya
simpanan, kita sudahpun bersedia untuk mengurangkan kesan malapetaka
itu. Dari sudut aspek ini juga, simpanan wang boleh dianggapkan sebagai
perbelanjaan yang ditangguh untuk masa hadapan.
Selain dari mengadakan dana simpanan untuk kecemasan, banyak lagi
alasan yang boleh diberi bagi menyimpan wang, seperti perbelanjaan
dirancang untuk membeli rumah, kereta, barang-barang persendirian,
rancangan pendidikan dan juga matlamat untuk meninggalkan dana pusaka.
Kesemua matlamat-matlamat kewangan ini memerlukan satu elemen yang sama,
iaitu disiplin diri untuk tetap menyimpan sejumlah amaun minima, malah
amaun yang semakin bertambah, ke arah dana simpanan anda.
Anda juga harus awasi berbagai-bagai kaedah periklanan yang mencuba
mengubah minda anda ke arah yang berlawanan. Mereka sentiasa memberi
galakan untuk “beli sekarang, bayar kemudian” dan pandai pula menipu
minda anda dengan anggapan bahawa gaya hidup serba mewah ini adalah
sebenarnya ganjaran hidup anda. Disiplin diri untuk menyimpan wang, dan
pemikiran waras yang mengetahui waktu yang sesuai untuk membeli-belah,
adalah asas terpenting dalam usaha anda untuk membina dana kewangan masa
hadapan yang berjaya.
Sumber: AKPK
Sumber: AKPK
0 comments:
Post a Comment