Showing posts with label Rais Yatim. Show all posts
Showing posts with label Rais Yatim. Show all posts

Thursday, 14 February 2013

Orang Melayu Mesti Kuat Bersatu


Orang Melayu harus sedar bahawa masa depan tanah air berada di tangan mereka dan jika mereka kuat bersatu, tiada siapa yang boleh menggugat kekuatan itu, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. 

Katanya dengan kekal kuat, orang Melayu akan menerima sokongan semua pihak. 

"Oleh kerana kita adalah majoriti dalam tanah air kita sendiri, orang Tionghua dan India akan menyokong kita, asalkan kita kuat dan tidak berpecah- belah," katanya pada majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM 2.0) kepada 643 orang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah di Sekolah Menengan Agama Datuk Haji Tan Ahmad di sini Rabu. 

Turut hadir ialah anggota Exco negeri yang juga anggota DUN Chennah Datuk Siow Chen Pin dan Speaker yang juga anggota DUN Pertang Datuk Razak Mansor. 

Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu berkata "Bila kita (rakyat) sepakat, kita akan kuat. Tetapi bila kita tidak kuat, kita akan 'dibelah' dek orang". 

Beliau berkata kekuatan itu jugalah yang dipegang Amerika Syarikat dan orang Inggeris sehingga mereka berkuasa dan dunia tidak boleh melakukan apa-apa terhadap mereka. 

"Mari kita kukuhkan perpaduan dan persaudaraan kita dan kumpulkan tenaga kita supaya kita dan rakan-rakan selamat...serta kita tanamkan semangat perjuangan yang sebenar untuk kita terus mempunyai kuasa penuh dalam negara sendiri," katanya. 

SIMPANG DURIAN, 13 Feb 2013




Wednesday, 13 February 2013

Masyarakat berbilang kaum yang berbeza latar budaya dan agama di negara ini saling memerlukan satu sama lain bagi memastikan negara terus menikmati kemajuan dan kemakmuran. 

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata ini terbukti apabila kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi rakyat hari ini adalah berkat daripada sikap perpaduan dan kesatuan yang ditonjolkan rakyat. 

"Kejayaan kita hari ini adalah atas perjuangan rakyat yang sentiasa berpadu dan membolehkan kerajaan sedia ada melaksanakan pelbagai dasar untuk kebaikan rakyat. 

"Kita memerlukan antara satu sama lain. Orang Melayu perlukan orang Cina, orang Cina perlukan orang Melayu. Begitu juga dengan orang India memerlukan orang Melayu dan Cina," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina Persatuan Wong Jelebu, di Titi, di sini Isnin. 

Katanya rakyat juga perlu terus bersatu menyatakan sokongan kepada kerajaan sedia ada selepas kejayaan pemimpinnya melaksanakan tanggungjawab membawa kemajuan dan kemakmuran negara. 

Dalam pada itu Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu mengingatkan rakyat yang akan membuat keputusan pada pilihan raya akan datang, agar sentiasa memikirkan nasib generasi muda di masa depan. 

Katanya rakyat seharusnya membandingkan apa yang telah dilaksanakan kerajaan sedia ada berbanding pihak pembangkang yang disifatkan beliau hanya pandai berkata-kata dan menabur janji, tetapi hakikatnya tidak mampu melaksanakan tugas. 

JELEBU, 11 Feb 2013
Sumber: RAISYATIM.MY