Masyarakat berbilang kaum yang berbeza latar budaya dan agama di negara ini saling memerlukan satu sama lain bagi memastikan negara terus menikmati kemajuan dan kemakmuran.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata ini terbukti apabila kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi rakyat hari ini adalah berkat daripada sikap perpaduan dan kesatuan yang ditonjolkan rakyat.
"Kejayaan kita hari ini adalah atas perjuangan rakyat yang sentiasa berpadu dan membolehkan kerajaan sedia ada melaksanakan pelbagai dasar untuk kebaikan rakyat.
"Kita memerlukan antara satu sama lain. Orang Melayu perlukan orang Cina, orang Cina perlukan orang Melayu. Begitu juga dengan orang India memerlukan orang Melayu dan Cina," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina Persatuan Wong Jelebu, di Titi, di sini Isnin.
Katanya rakyat juga perlu terus bersatu menyatakan sokongan kepada kerajaan sedia ada selepas kejayaan pemimpinnya melaksanakan tanggungjawab membawa kemajuan dan kemakmuran negara.
Dalam pada itu Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu mengingatkan rakyat yang akan membuat keputusan pada pilihan raya akan datang, agar sentiasa memikirkan nasib generasi muda di masa depan.
Katanya rakyat seharusnya membandingkan apa yang telah dilaksanakan kerajaan sedia ada berbanding pihak pembangkang yang disifatkan beliau hanya pandai berkata-kata dan menabur janji, tetapi hakikatnya tidak mampu melaksanakan tugas.
JELEBU, 11 Feb 2013
Sumber: RAISYATIM.MY
0 comments:
Post a Comment